Sunday, July 19, 2009

MU vs MALAYSIA

GEGAK gempita Stadium Nasional, Bukit Jalil bergemuruh dalam satu suara menjulang wira Malaysia, Amri Yahyah yang menewaskan penjaga gol tersohor, Edwin Van der Sar dan Ben Foster untuk mencetus gentar Manchester United sebelum kecundang 3-2 kepada juara Liga Perdana Inggeris itu dalam pembukaan Jelajah Asia 2009.

Sungguh pun diletakkan sebagai gergasi dunia, barisan Sir Alex Ferguson dimalukan oleh dua gol Amri - anak kelahiran Tanjung Karang pada minit ke-45 dan 53 ketika ramai menyangka akan dilumat habis-habisan oleh pelawat perkasa itu berpandu kepada kunjungan terakhir pada 2001 berakhir dengan kekalahan 6-0.

Tanpa disangka, Malaysia yang dihimpit dalam kotak penalti sejak sepak mula oleh United, berjaya mendapatkan gol yang didahagakan barisan anak buah K Rajagopal apabila Amri akhirnya membuktikan diri sebagai pemain tengah berwibawa negara dengan membuat tindakan bijak ketika melihatkan Van der Sar terkeluar daripada posisinya.

Tonggak tengah itu kemudian membuktikan ia bukan tuah semata-mata apabila memintas hantaran belakang Darron Gibson kepada Ben Foster yang dimasukkan menggantikan Van der Sar pada babak kedua untuk menolak masuk, sekali lagi menggamatkan kapasiti penuh di Bukit Jalil.

United membuka tirai jaringan menerusi Wayne Rooney seawal minit kelapan dengan gol kedua pelawat menyusul minit ke-27 hasil sumbangan Nani.

Michael Owen yang menggantikan Rooney muncul wira dan membuktikan pelaburan dibuat oleh Ferguson ke atasnya berbaloi dengan jaringan kemenangan enam minit sebelum perlawanan tamat.




SKUAD

MALAYSIA:
Mohd Farizal Marlias, Mohd Asraruddin Umar (Mohd Azmi Muslim), Norhafiz Zamani Misbah (kapt) (K Gurusamy), Mohd Aidil Zafuan, Mazlizam Mohd (V Thirumurugan), Safiq Rahim (Mohd Sabree Mat Abu), Amar Rohidan (Mohd Bunyamin Omar), Indra Putra Mahyuddin (Badrol Bakhtiar), Mohd Amri Yahyah, Mohd Khyrill Muhymeen, Zaquan Adha (Norshahrul Idlan Talaha)

MAN UNITED: Edwin Van der Sar (Ben Foster), Patrice Evra, Rio Ferdinand (West Brown), Anderson (Ryan Giggs), Dimitar Berbatov (Ferico Macheda), Wayne Rooney (Michael Owen), Nani, Paul Scholes (Zoran Tosic), John O Shea, Jonny Evans, Darron Gibson

No comments: